KWSP Jangka 1.5 Juta Ahli Beralih Kepada Simpanan Patuh Syariah

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjangkakan kira-kira 1.5 juta ahlinya akan menukar simpanan konvensional kepada akaun simpanan patuh syariah (EPF-i), selepas pelaksanaannya bermula Januari tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata simpanan syariah itu adalah pilihan untuk pencarum atau kekal dengan simpanan konvensional.

“Berdasarkan kajian yang kita jalankan dan maklum balas yang kami terima daripada orang ramai, setakat ini kira-kira 1.5 juta ahli akan menukar kepada EPF-i pada awal tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas sesi forum Mengapa Syariah? di persidangan Invest Malaysia 2016, hari ini.

Saiz dana permulaan EPF-i dijangka ditetapkan di antara RM80 juta kepada RM100 juta.

Sebelum ini, dilaporkan 40 peratus daripada jumlah pelaburan KWSP adalah pelaburan patuh syariah.

KWSP mempunyai seramai 14.45 juta ahli dengan 6.74 juta adalah ahli aktif sehingga September tahun lalu.

Sementara itu, Shahril Ridza pada forum sesi penutup, berkata Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mempunyai kesan yang positif dalam tempoh jangka panjang.

“TPPA benar-benar berkesan dari segi struktur dan landskap komuniti. Perdagangan bebas adalah sesuatu yang amat dialu-alukan oleh kita,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/143142

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*