KWSP: Pendaftaran Simpanan Shariah Bermula 8 Ogos 2016

mohdrazani dot com kwsp shariah

KUALA LUMPUR, 20 Jun 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan bahawa pilihan simpanan persaraan baru Simpanan Shariah yang akan dilancarkan pada 2017, akan dibuka kepada ahli untuk pendaftaran pada Isnin, 8 Ogos 2016.

Dalam taklimat hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata Simpanan Shariah merupakan pilihan simpanan baru untuk ahli KWSP yang ingin menukar simpanan KWSP konvensional mereka kepada simpanan yang diurus dan dilabur berdasarkan prinsip Syariah.  Simpanan Shariah adalah terbuka untuk semua ahli tanpa mengira bangsa, agama dan kewarganegaraan.

“Berikutan keputusan Rundingan Awam yang dijalankan oleh KWSP tahun lepas, lebih 70 peratus responden bersetuju perlu diadakan opsyen untuk ahli memilih supaya simpanan persaraan mereka diurus berdasarkan prinsip Syariah.  Oleh itu, kami dengan sukacita memperkenalkan Simpanan Shariah untuk memenuhi kehendak ahli.”

Datuk Shahril berkata KWSP telah memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM100 bilion, iaitu lebih kurang 15 peratus dari keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP sebanyak RM681.71 bilion sehingga akhir Mac 2016.  Beliau berkata penglibatan KWSP dalam pelaburan Islamik bukan perkara baru kerana lebih 45 peratus, atau RM295 bilion, dari jumlah aset pelaburan KWSP adalah patuh Syariah.

“Di masa hadapan, kami menjangkakan untuk mengembangkan pelaburan aset Syariah tidak kurang dari RM25 bilion setahun secara purata atau seiring dengan kenaikan jumlah aset bagi mengekalkan minimum 45 peratus aset Syariah.”

Dari aspek operasi, proses mencarum dan penguatkuasaan semasa kekal sama.  Ahli yang memilih untuk menukar akaun KWSP semasa, yang kini dikenali sebagi Simpanan Konvensional, kepada Simpanan Shariah perlu hadir membawa dokumen pengenalan diri ke mana-mana cawangan KWSP untuk pengesahan cap jari.

Permohonan pendaftaran untuk Simpanan Shariah adalah berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’ bermula 8 Ogos 2016. Bagi melayakkan diri untuk Simpanan Shariah 2017, ahli perlu mengemukakan permohonan sehingga 23 Disember 2016 dan tertakluk kepada ketersediaan dana RM100 bilion.

Selaras dengan prinsip Syariah, kadar dividen untuk Simpanan Shariah adalah berdasarkan prestasi portfolio patuh Syariah dan tiada jaminan kadar dividen minimum 2.5 peratus seperti yang terdapat pada Simpanan Konvensional. Tarikh kuatkuasa Simpanan Shariah adalah 1 Januari 2017.

Sebuah Jawatankuasa Penasihat Shariah (JKPS) ditubuhkan bagi menyelia semua aspek operasi, pelaburan dan tadbir urus Simpanan Shariah. JKPS juga akan akur produk
pelaburan Syariah yang ditadbir dan disahkan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-89226000.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

Sumber : Laman Web KWSP

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*