KWSP Kaji Perkenal Skim Simpanan Persaraan Patuh Syariah

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sedang menimbang untuk memberi pilihan kepada pencarum bagi memilih skim simpanan persaraan.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang menimbang untuk memberi pilihan kepada pencarum bagi memilih skim simpanan persaraan patuh Syariah atau kekal dengan skim konvensional sedia ada.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata inisiatif itu disasar untuk dilaksanakan pada 2017.

“Ini kerana kita perlu buat kajian pelaksanaan dan kaedah-kaedahnya.

“Kita juga perlu pinda Akta KWSP 1991 bagi membolehkan pencarum membuat pilihan ini serta kita perlu menambah baik sistem pelaburan, caruman dan pengeluaran,” katanya menjawab soalan Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) pada sesi sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Nasrudin meminta penjelasan sama ada KWSP berhasrat memastikan caruman pencarum Muslim hanya dilaburkan dalam portfolio pelaburan patuh Syariah sahaja.

Dalam pada itu, Ahmad berkata KWSP sentiasa memenuhi mandat etikanya dengan tidak sekali-kali membuat pelaburan dalam sektor yang berkategori tidak beretika.

“KWSP tidak membuat pelaburan dalam sektor dikategorikan sebagai tidak beretika seperti saham dalam perjudian dan arak, sektor pembuatan dan penjualan senjata untuk tujuan peperangan serta pelaburan yang punya pendedahan dan kepentingan dalam negara yang tiada hubungan diplomasi dengan Malaysia seperti Israel,” katanya.

Beliau berkata KWSP tidak akan mengasingkan caruman pencarum mengikut agama, bangsa atau kaum kerana pelaburan yang dibuat adalah untuk semua ahlinya tanpa mengira agama dan bangsa.

“Pengagihan dividen tahunan juga adalah berdasarkan pendapatan kumulatif daripada instrumen pelaburan Islamik dan konvensional,” katanya.

Ahmad berkata KWSP sentiasa mengembangkan pelaburannya dalam instrumen berlandaskan syariah, dan sehingga Disember 2014, sebanyak 40 peratus daripada jumlah aset KWSP adalah dalam pelaburan berlandas syariah.

 

 

Sumber :

Bernama |  Mei 27, 2015 10:13 MYT

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*