Tanah Kubur Yang Dibacakan Surah Al-Qadr 7 Kali Siri 2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-121: TANAH KUBUR YANG DIBACAKAN SURAH AL-QADR 7 KALI

Soalan:

Assalamualaikum Sahibus Samahah Dr Zulkifli. Ketika ini agak hangat dibincangkan tentang hadith tanah kubur yang dibacakan surah al-qadr dapat melepaskan seksa kubur. Satu pihak mengatakan bahawa hadith ini palsu tidak diriwayatkan dalam kitab-kitab hadith muktabar maka amalan ini tidak sahih dan satu lagi pihak menyatakan ia disebut dalam kitab-kitab mazhab Syafie maka hendaklah kita bersangka baik. Apakah jalan penyelesaian yang mendamaikan dalam hal ini ? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam. Terima kasih atas soalan yang diajukan. Insya Allah pihak kami akan cuba menjawab persoalan ini dengan sebaik mungkin berserta dengan cadangan penyelesaian bagi mengharmonikan isu ini.

 

Mukadimah

Dalam sehari dua ini pihak kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan banyak menerima persoalan-persoalan daripada masyarakat umum berkenaan isu mengambil tanah di kubur lalu dibacakan padanya surah al-Qadr sebanyak tujuh kali maka mayat tersebut tidak akan diazab di dalam kuburnya. Justeru, kami mengambil tanggungjawab bagi mengulas kesahihan hal ini dari sudut ilmu hadis dan feghnya.

 

Sumber-sumber Bacaan Surah Al-Qadr Sebanyak 7 Kali Pada Tanah Kubur

Berikut kami kongsikan beberapa sumber yang menyebutkan berkenaan perkara ini:

Pertama: Syeikh Taqiyuddin al-Alawi telah menjumpai penulisan ayahnya bahawa al-Faqih Muhammad Abu Abdillah al-Hafiz mengatakan Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ أَخَذَ مِنْ تُرَابِ الْقَبْرِ حَالَ الدَّفْنِ بِيَدِهِ أَيْ حَالَ إرَادَتِهِ وَقَرَأَ {إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ} [القدر: 1] سَبْعَ مَرَّاتٍ وَجَعَلَهُ مَعَ الْمَيِّتِ فِي كَفَنِهِ أَوْ قَبْرِهِ لَمْ يُعَذَّبْ ذَلِكَ الْمَيِّتُ فِي الْقَبْرِ

Maksudnya: Sesiapa yang mengambil tanah kubur dengan tangannya ketika pengebumian iaitu ketika dia hendak mengebumikan mayat lalu dia membaca surah al-qadr sebanyak tujuh kali dan dia meletakkannya bersama-sama dengan mayat pada kafannya atapun pada kuburnya nescaya si mati tidak akan di azab di dalam kubur.

 

Matan di atas ini telah disebutkan di dalam kitab-kitab berikut:

  • Hasyiah al-Imam Abdul Hamid al-Syarwani ke atas kitab Tuhfatul Muhtaj (3/172).
  • Hasyiah Abu al-Dhiya’ Nuruddin bin Ali al-Syabramalisi ke atas kitab Nihayah al-Muhtaj (3/8).
  • Futuhaat al-Wahhab Bi Taudhih Syarh Manhaj al-Thullab (2/203) karya Syaikhul Islam Zakariya al-Ansari.
  • I’anah al-Thalibin oleh Syeikh Abu Bakar Uthman al-Bakri al-Dimyati (2/135).
  • Bughyah al-Mustarsyidin, Syeikh Abdul Rahman al-Ba’lawi (1/198).

 

Kedua: Syeikh al-Bujairami menyatakan bahawa al-Nasyiri telah menyebut dengan sanad yang bersambung dengan katanya:

أَنَّ مَنْ أَخَذَ مِنْ تُرَابِ الْقَبْرِ حَالَ الدَّفْنِ فِي كَفِّهِ شَيْئًا مِنْهُ وَقَرَأَ: {إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ} [القدر: 1] سَبْعَ مَرَّاتٍ ثُمَّ وَضَعَهُ فِي كَفَنِهِ لَمْ يُعَذَّبْ ذَلِكَ الْمَيِّتُ وَهِيَ فَائِدَةٌ جَلِيلَةٌ

Maksudnya: Sesiapa yang mengambil tanah kubur dengan tangannya ketika pengebumian iaitu ketika dia hendak mengebumikan mayat lalu dia membaca surah al-qadr sebanyak tujuh kali dan dia meletakkannya bersama-sama dengan mayat pada kafannya atapun pada kuburnya nescaya si mati tersebut tidak akan di azab. Dan ia merupakan faedah yang agung.

Rujuk Hasyiah al-Bujairami ke atas Al-Iqna’ (2/310).

 

Ketiga: Kata Syeikh Ahmad bin Ismail al-Tahtawi al-Hanafi:

وَفِي كِتَابِ النُّورَينِ مَن أخَذَ مِن تُرَابِ القَبْرِ بِيَدِهِ وَقَرَأ عَلَيهِ سُورَةَ القَدْرِ سَبْعًا وَتَرَكهُ فِي القَبْرِ لَمْ يُعَذَّبْ صَاحِب القَبْر

Maksudnya: Di dalam kitab al-Nurain: Sesiapa yang mengambil tanah kubur dengan tangannya lalu dia membacakan ke atasnya Surah al-Qadr sebanyak tujuh kali dan tanah tersebut ditinggalkan di dalam kubur nescaya penghuni kubur tersebut tidak akan diazab.

Rujuk Hasyiah al-Tahthawi ‘ala Maraqi al-Falah (1/611).

 

Perbahasan

Setelah kami meneliti beberapa teks yang disebutkan di atas, kami mendapati bahawa isu ini munasabah dibahas melalui dua sudut. Iaitu dari sudut hadis dan juga feqhnya.

Pertama: Dari Sudut Hadis

  1. Sepanjang pencarian kami, hadis ini tidak ditemui di dalam kutub al-sittah[1] ataupun kitab-kitab hadis seperti Musnad, Mustadrak, dan selainnya.
  2. Sekalipun Syeikh al-Bujairami menyatakan bahawa al-Nasyiri menyebut riwayat ini dengan sanad yang bersambung, akan tetapi kami tidak menemui sanad bagi riwayat tersebut yang boleh dijadikan sebagai rujukan untuk disemak kembali para perawinya.
  3. Kami mendapati bahawa kebanyakan riwayat ini kembali kepada Syeikh Taqiyuddin al-‘Alawi (w. 872 h.) yang mana beliau telah menjumpai penulisan ayahnya yang menyatakan bahawa Abu Abdillah al-Hafiz telah menyebutkan Rasulullah S.A.W mengatakan hal tersebut. Namun, sekali lagi kami -sebatas pencarian kami- tidak menemui sanad di antara Syeikh Abu Abdillah al-Hafiz sehingga ke Rasulullah S.A.W.

 

Hukum Hadith

Setelah kami melakukan penelitian terhadap kitab-kitab yang menghimpunkan teks-teks hadith, kami tidak menjumpai sanad lengkap bagi hadith tersebut. Untuk itu, kami nyatakan bahawa hukum atau status hadith tersebut tiada asal baginya dan kita tidak boleh sama sekali menyandarkannya kepada Nabi SAW atau menyebarkannya kepada orang lain.

 

Kesimpulannya, hadith di atas adalah tidak sahih dan seharusnya kita berwaspada sebagaimana sabda Baginda SAW di dalam hadith yang sahih:

مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيْثٍ يُرَىْ أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِيْنَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyampaikan daripadaku hadith yang pada sangkaannya adalah dusta maka dia adalah termasuk dalam kalangan pendusta”.

Riwayat Abu Daud (43)

 

Pun begitu, sudah menjadi kebiasaan bagi para ulama hadis memainkan peranan dan tanggungjawab mereka untuk mentakhrij hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab-kitab feqh dan selainnya bagi memastikan ketulenan hadis-hadis yang dijadikan sandaran hujah dan amalan. Ini seperti yang dilakukan oleh beberapa ulama hadis berikut:

  • Imam al-Zaila’ie di dalam kitabnya Nasb al-Rayah telah mentakhrijkan hadis-hadis di dalam kitab al-Hidayah yang merupakan kitab feqh mazhab Hanafi.
  • Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Talkhis al-Habir telah meringkaskan hadis-hadis dari kitab al-Badrul Munir yang telah mentakhrijkan hadis-hadis di dalam kitab feqh mazhab al-Syafie iaitu al-Kabir karya Imam al-Rafi’e.
  • Imam al-Hafiz al-Iraqi telah mentakhrijkan hadis-hadis di dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din karya Hujjatul Islam al-Ghazali.

Justeru, tindakan para ulama muhaqqiqin ini tidaklah bermaksud untuk menghina atau merendahkan kedudukan sebahagian para ulama feqh dan jasa-jasa mereka yang cukup besar, tetapi hanyalah sebagai suatu usaha tolong menolong atas kebenaran dan kesabaran.

 

Kedua: Dari Sudut Feqh

  1. Kami mendapati bahawa amalan ini hanya terdapat di dalam hasyiah bagi kitab-kitab feqh yang ditulis oleh ulama-ulama terkemudian baik dari kalangan mazhab Hanafi dan juga mazhab al-Syafie.
  2. Mereka memasukkan riwayat ini dalam menjelaskan faedah berkaitan cara mengebumikan jenazah. Faedah tersebut menyatakan bahawa bacaan surah al-Qadr sebanyak 7 kali yang dibaca pada tanah kubur dan dimasukkan tanah tersebut sama ada ke dalam kain kafan atau ke dalam kubur nescaya amalan tersebut dapat menyelamatkan si mati dari azab kubur.
  3. Walaupun begitu, para ulama tersebut tidak menyatakan sanad bagi riwayat tersebut dan tidak pula dijelaskan status riwayat tersebut. Ini sedikit sebanyak memberikan kesan dalam beramal dengan riwayat tersebut kerana isu berkaitan tidak diazabnya seseorang di dalam kubur merupakan perkara ghaib yang sangat berhajat kepada dalil yang sahih untuk membenarkannya.

 

Isu Qiyas Dengan Hadis Memacak Pelepah Tamar

Sebahagian pihak cuba untuk menguatkan keabsahan amalan tersebut dengan hadis yang berikut:

Daripada Abdullah bin Abbas R.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda ketika melalui dua buah kubur yang sedang diseksa:

إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ البَوْلِ وَأَمَّا الآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ أَخَذَ جَرِيدَةً رَطْبَةً فَشَقَّهَا بِنِصْفَيْنِ ثُمَّ غَرَزَ فِي كُلِّ قَبْرٍ وَاحِدَةً فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ صَنَعْتَ هَذَا فَقَالَ: “لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا”.

Maksudnya: “Sesungguhnya dua mayat ini sedang diseksa tetapi bukanlah kerana mereka melakukan dosa yang besar. Seorang daripadanya diseksa kerana tidak mencuci air kencingnya dengan betul dan seorang lagi diseksa kerana sentiasa berjalan bagi tujuan mengadu domba. Kemudian baginda mengambil pelepah kurma yang masih basah lalu mematahkannya menjadi dua. Setelah itu baginda menanam salah satunya pada kubur yang pertama dan yang satu lagi pada kubur yang kedua”. Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, mengapa engkau melakukan hal sedemikian?”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Semoga dengan pelepah ini dapat meringankan seksanya selagimana ia belum kering”.

Riwayat al-Bukhari (218), (1361) dan (6052)

 

 

Di dalam sebuah hadith yang panjang, diriwayatkan oleh Jabir R.anh bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنِّي مَرَرْتُ بِقَبْرَيْنِ يُعَذَّبَانِ فَأَحْبَبْتُ بِشَفَاعَتِي أَنْ يُرَفَّهَ عَنْهُمَا مَا دَامَ الْغُصْنَانِ رَطْبَيْنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah melalui dua buah kubur yang sedang diseksa (penghuninya) maka aku mahu mereka diberikan syafaatku agar dihindarkan daripada seksaan selagimana dua ranting masih basah”.

Riwayat Muslim (3012)

 

Imam al-Bukhari telah memasukkan sebuah athar daripada Buraidah dan juga Ibn Umar R.anhuma di dalam salah sebuah bab di dalam kitabnya Sahih al-Bukhari:

وَأَوْصَى بُرَيْدَةُ الأَسْلَمِيُّ: “أَنْ يُجْعَلَ فِي قَبْرِهِ جَرِيدَانِ” وَرَأَى ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا فُسْطَاطًا عَلَى قَبْرِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ فَقَالَ: “انْزِعْهُ يَا غُلاَمُ فَإِنَّمَا يُظِلُّهُ عَمَلُهُ.

Maksudnya: “Buraidah al-Aslamiy telah berwasiat agar diletakkan di atas kuburnya dua pelepah tamar dan Ibn Umar telah melihat sebuah khemah di atas kubur Abdul Rahman lalu memerintahkan agar ianya dicabut dengan berkata: “Cabutlah ia wahai budak, kerana yang akan melindunginya adalah amalannya”.

Riwayat al-Bukhari (209).

 

 

Hukum Dan Pendapat Ulama’ Dalam Memahami Hadith Ini

Dalam masalah ini, terdapat dua pendapat dalam memahami hadith ini:

 

  • Pendapat Pertama: Disunatkan meletakkan pelepah tamar atau seumpama dengannya di atas kubur. Antaranya disebut oleh para fuqaha’ di dalam mazhab al-Syafi’eyyah:

وَيُسَنُّ أَيْضًا وَضْعُ الْجَرِيدِ الْأَخْضَرِ عَلَى الْقَبْرِ وَكَذَا الرَّيْحَانُ وَنَحْوُهُ مِنْ الشَّيْءِ الرَّطْبِ وَلَا يَجُوزُ لِلْغَيْرِ أَخْذُهُ مِنْ عَلَى الْقَبْرِ قَبْلَ يُبْسِهِ لِأَنَّ صَاحِبَهُ لَمْ يُعْرِضْ عَنْهُ إلَّا عِنْدَ يُبْسِهِ لِزَوَالِ نَفْعِهِ الَّذِي كَانَ فِيهِ وَقْتَ رُطُوبَتِهِ

Maksudnya: “Disunatkan meletakkan pelepah (kurma) yang hijau (basah) di atas kubur, begitu juga tumbuh-tumbuhan yang berbau harum dan yang seumpama dengannya yang masih basah dan tidak dibolehkan bagi orang lain untuk mengambilnya dari atas kubur sebelum ianya kering kerana pemiliknya tidak akan berpaling daripadanya kecuali setelah ianya kering disebabkan telah hilangnya manfaatnya tidak seperti ketika ia masih basah…”.

Rujuk Mughni al-Muhtaj, al-Khatib al-Syarbini (2/56).

 

  • Pendapat Kedua: Ini termasuk di dalam perkara yang dikhaskan hanya untuk Nabi SAW (khususiyyah Nabi SAW). Antaranya seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Khattabi:

فَإِنَّهُ مِنْ نَاحِيَةِ التَّبَرُّك بِأَثَرِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَدُعَائِهِ بِالتَّخْفِيْفِ عَنْهُمَا وَكَأَنَّهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَعَلَ مُدَّة بَقَاء النَّدَاوَة فِيْهِمَا حَدّا لما وَقَعَت بِهِ المَسْأَلَة مِنْ تَخْفِيْفِ العَذَاب عَنْهُمَا وَلَيْسَ ذَلِكَ مِنْ أَجْلِ أَنَّ فِيْ الجَرِيْدِ الرّطَب مَعْنَى لَيْسَ فِيْ اليَابِسِ

Maksudnya: “Hal ini dilihat dari sudut memperoleh keberkatan daripada kesan Rasulullah SAW dan juga doa baginda SAW agar diringankan azab kepada mereka berdua serta seolah-olah baginda menjadikan tempoh lembabnya pelepah itu sebagai had (tempoh) kepada doa tersebut agar diringankan azab terhadap mereka berdua. Isunya bukan kerana makna yang ada pada pelepah yang basah, yang tidak ada pada pelepah yang kering”.

Lihat Ma’alim al-Sunan, al-Khattabi (19).

 

 

Antara Amalan-Amalan Penghalang Daripada Azab Kubur

Kami nukilkan di sini beberapa amalan yang boleh kita sama-sama praktikkan bersumberkan daripada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih agar sama-sama dapat kita perolehi manfaat seterusnya mengamalkannya. Antara amalan-amalan tersebut ialah:

 

  1. Iman & Beramal Soleh

Beriman dan juga beramal soleh adalah antara wasilah yang paling utama untuk menghindari azab kubur. Firman Allah SWT:

يُثَبِّتُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱلۡقَوۡلِ ٱلثَّابِتِ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِۖ وَيُضِلُّ ٱللَّهُ ٱلظَّٰلِمِينَۚ وَيَفۡعَلُ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ

Maksudnya: Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.

(Ibrahim: 27)

 

Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah di dalam tafsirnya, Tafsir al-Quran al-‘Azim menukilkan kata-kata Sufyan al-Thauri Rahimahullah yang mana beliau mengatakan bahawa ayat di atas berkaitan dengan azab kubur.[2]

Allah SWT menetapkan pendirian orang yang beriman dengan hati yang sempurna iaitu mereka yang melazimi amal perbuatan yang membuahkan hasil (amal soleh) dan Allah SWT menetapkan mereka pada kehidupan di dunia dan juga di akhirat. Apabila matinya mereka di pengakhiran, akan tetap di atas Islam dan memperoleh husnul khatimah dan di dalam kubur, ketika di soal oleh dua malaikat, dapat menjawabnya dengan jawapan yang sahih.[3]

 

  1. Menjaga Sempadan (al-Ribat) Pada Jalan Allah SWT

Iaitu mereka yang berterusan menjaga sempadan pada jalan Allah SWT dan bersabar di atasnya. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Fadalah bin ‘Ubaid RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda:

كُلُّ الْمَيِّتِ يُخْتَمُ عَلَى عَمَلِهِ، إِلاَّ الْمُرَابِطَ فَإِنَّهُ يَنْمُو لَهُ عَمَلُهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَيُؤَمَّنُ مِنْ فَتَّانِ الْقَبْرِ

Maksudnya: Setiap yang mati, maka amalannya telah ditutupi kecuali bagi al-Murabit (orang yang menjaga sempadan di jalan Allah SWT). Sesungguhnya amalannya akan terus bertambah sehingga hari akhirat dan selamat dari fitnah kubur.

Riwayat Abu Daud (2500) & Al-Tirmizi (1621). Status: Sahih

 

 

  1. Melazimi Bacaan Surah al-Mulk

Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang mana beliau meriwayatkan:

ضَرَبَ بَعْضُ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم خِبَاءَهُ عَلَى قَبْرٍ وَهُوَ لاَ يَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ حَتَّى خَتَمَهَا فَأَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكُ حَتَّى خَتَمَهَا ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏هِيَ الْمَانِعَةُ هِيَ الْمُنْجِيَةُ تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

Maksudnya: Telah mendirikan khemah sebahagian sahabat Nabi SAW di atas kubur dan mereka tidak mengetahui yang terdapatnya kubur di situ dan mereka mendengar ada seseorang (daripada kubur) membaca Surah al-Mulk (Tabarakallah Biyadihi al-Mulk) sehingga tamat. Kemudian lelaki tersebut datang kepada Nabi SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah mendirikan khemah di atas kubur yang aku tidak mengetahui akannya dan aku terdengar di dalamnya seseorang membaca Surah al-Mulk sehingga tamat. Maka Rasulullah SAW berkata: “Ia (Surah al-Mulk) adalah penghalang, penyelamat daripada azab kubur”.

Riwayat Al-Tirmizi (2890)

 

 

  1. Doa Yang Diajarkan Oleh Nabi SAW

Terdapat juga doa yang boleh dijadikan amalan bagi kita yang mana doa ini telah dibacakan oleh Nabi SAW dalam memohon agar diri Baginda dilindungi dari fitnah dan azab kubur. Doa Nabi SAW tersebut adalah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon perlindungan kepadamu daripada azab kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah hidup dan mati dan daripada fitnah masih al-Dajjal”.

Riwayat Al-Bukhari (1377)

Doa ini boleh diamalkan bahkan terdapat banyak lagi riwayat yang sama maknanya dengan doa di atas.

 

 

Teladan Kisah Dari Imam Ibn al-Jauzi Rahimahullah

Terdapat sebuah kisah berkenaan seorang tokoh hadis yang terkenal iaitu Imam al-Hafiz Ibn al-Jauzi Rahimahullah yang wajar diteladani oleh kita semua. Di dalam kitab al-Maudhu’at, beliau menceritakan bahawa dirinya telah melazimi bacaan surah al-Fatihah, ayat al-Kursi, dua ayat daripada surah Aali Imraniaitu ayat ke-18 dan 26 yang dibaca sesudah solat dengan fadhilat seperti berikut:

  • Allah akan memberikan Syurga bagi siapa yang membaca kesemuanya selepas setiap kali Solat.
  • Allah akan memandangnya sebanyak 70 kali dalam sehari.
  • Allah akan melaksanakan 70 hajat keperluannya dalam sehari.
  • Allah akan menyelamatkannya dari setiap musuh.
  • Allah akan memelihara dirinya.

Kata Al-Hafiz Ibn al-Jauzi: Hadis ini adalah hadis Maudhu’ (palsu). Kemudian sambung beliau:

Aku telah mendengar hadis ini sejak kecil lagi dan aku beramal dengannya selama 30 tahun disebabkan sangka baikku kepada para perawi. Ketika mana aku tahu yang ia adalah palsu lalu aku tinggalkannya.

Seorang bertanya kepada Ibn al Jauzi: Bukankah ia digunakan untuk amalan baik ?

Maka jawab Ibn al Jauzi Rahimahullah:

اسْتِعْمَالُ الْخَيْر يَنْبَغِي أَنْ يَكُونَ مَشْرُوعًا فَإِذَا عَلِمْنَا أَنَّهُ كَذِب خَرَجَ عَنِ المَشْرُوعِيَّة

Maksudnya : Menggunakan sesuatu untuk amalan kebaikan hendaklah pada perkara yang disyariatkan. Apabila kita tahu yang ianya palsu maka ia terkeluar dari perkara yang disyariatkan.

Perhatikan sikap insaf yang ditunjukkan oleh Imam Ibn al-Jauzi yang meninggalkan beramal dengan hadis tersebut setelah mengetahui bahawa tiada asal baginya sekalipun beliau telah beramal dengannya selama 30 tahun di atas sangka baik beliau terhadap para perawinya. Kami akhiri penulisan ini dengan doa berikut:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah pergi mendahului kami dalam keimanan dan janganlah kau menjadikan di dalam hati-hati kami ini perasaan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami sesungguhnya Kau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Surah al-Hasyr (10)

 

 

KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

 

Setelah meneliti pandangan dan pendapat semua pihak, maka kami katakan seperti berikut:

  • Pertama: Amalan ini dilakukan oleh sebahagian kecil sahaja orang-orang soleh terdahulu. Sedangkan, kebanyakan ulama-ulama terdahulu tidak melakukannya seperti yang dimaklumi.
  • Kedua: Amalan yang disandarkan kepada athar dan juga hadith adalah tidak sahih qiyasnya. Sebaliknya dalil yang nyata seperti qaul Ibn Umar R.Anhuma menyatakan sebaliknya.
  • Ketiga: Menjanjikan fadhilat selamat daripada azab kubur amat perlu kepada dalil yang qati’e dan sahih. Justeru, dalam isu ini tidak terdapat dalil yang sahih.
  • Keempat: Berpandukan kepada dalil yang sahih daripada Al-Quran dan al-Hadith adalah perbuatan yang sepatutnya. Inilah yang menjadi pegangan umat Islam.

Akhir kalam, kami menyeru kepada semua pihak agar mengambil agama dari sumber yang sahih dan menjarakkan daripada sumber yang kabur dan keliru. Cukuplah kita mengamalkan amalan yang warid dalam al-Quran dan hadith agar amalan kita benar-benar menepati neraca syariah dan diterima oleh Allah SWT. Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

 

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

14 Julai 2016 bersamaan 9 Syawal 1437H

 

 

 

[1] Kutub al-Sittah merupakan kitab-kitab hadis utama yang enam iaitu Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Tirmizi, Sunan Abu Daud, Sunan al-Nasaie, dan Sunan Ibn Majah.

[2] Ibn Kathir. Tafsir al-Quran al-‘Azim. Dar Tayyibah, (4/496)

[3] Abd al-Rahman al-Sa’di. Tayseer al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan. Muassasah al-Risalah, hlm. 425.

http://www.muftiwp.gov.my/v3/index.php/perkhidmatan-s/irsyad-fatwa/1079-irsyad-al-fatwa-siri-ke-121-tanah-kubur-yang-dibacakan-surah-al-qadr-7-kali

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*